fbpx

Menteri Agama bincang dengan PM sebelum bentang RUU355

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR beramah mesra bersama pengunjung Karnival MAIWP 2024 sempena Ulang Tahun ke-50 MAIWP di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Mohd. Naim berkata, cadangan tersebut juga akan dibawa semula kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen.

Katanya, proses RUU355 kini di peringkat libat urus yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta semua pemegang taruh termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah Jakim, bahawa libat urus itu sudah di peringkat yang terakhir, laporan belum lagi disediakan dan insya-Allah akan diberikan kepada saya

“Saya akan bincang dengan Perdana Menteri berkaitan isu ini dan kita akan bawa semula cadangan RUU355 kepada Kabinet untuk mendapat keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Perasmian Karnival MAIWP Tahun 2024 di Tasik Titiwangsa hari ini.

MOHD. NA’IM pada sidang akhbar Majlis Perasmian Karnival MAIWP Tahun 2024 di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Penggubalan semula Akta 355 itu hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 dilihat akan menyeragamkan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Sementara itu, Mohd. Na’im menjelaskan cadangan penubuhan Jabatan Penguatkuasaan Syariah di setiap negeri yang dikemukakan baru-baru ini bertujuan supaya siasatan dijalankan ke atas satu-satu aduan kesalahan dilakukan tidak dipengaruhi sebarang pengaruh eksekutif.

Katanya, unit penguatkuasaan sedia ada terletak sebagai salah satu unit atau bahagian di bawah jabatan agama Islam negeri-negeri.

“Jadi, unit ini berada di bawah jabatan eksekutif, saya sudah jelaskan semalam untuk memastikan pengukuhan sistem kehakiman syariah boleh dicadangkan supaya bahagian penguatkuasaan di bawah kuasa eksekutif jabatan agama Islam negeri-negeri dibawa keluar.

“Sebab kita nak pastikan supaya siasatan yang dijalankan ke atas satu-satu aduan kesalahan yang dilakukan tidak dipengaruhi oleh sebarang pengaruh eksekutif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI