fbpx

Juruteknologi makmal perubatan HSA berdepan 25 pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFULAMIN berdepan 25 pertuduhan menerima rasuah antara 2019 hingga tahun lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang Juruteknologi Makmal Perubatan yang bertugas di Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini berdepan 25 pertuduhan menerima rasuah antara 2019 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Saifulamin Sabran, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah bersetuju menerima suapan daripada enam individu antara RM500 hingga RM2,000 melibatkan jumlah keseluruhan RM16,150.

Kesemua wang suapan itu diterima secara dalam talian di enam lokasi bank berbeza sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, dan Kulai antara 17 Ogos 2019 hingga 19 Januari 2023.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Julaila Jamaludin mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 bagi semua pertuduhan.

Julaila turut meminta mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi, tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru dan menyerahkan pasport ke mahkamah.

Peguam tertuduh, Shaikh Saleem SM. Daud bagaimanapun meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM10,000 bagi semua pertuduhan.

“Tertuduh masih bekerja dan mempunyai tanggungan seorang isteri, serta tiga orang anak. Tertuduh juga memberitahu kerjasama baik sepanjang kes ini berlangsung,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan RM10,000 sebagai jaminan dan tarikh 21 April depan untuk sebutan semula kes dan bagi penyerahan dokumen berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI