KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menambah sebanyak 150 unit pam ‘backward’ atau mengundur sebagai persediaan awal untuk berdepan kemungkinan berlaku masalah kekurangan bekalan air semasa fenomena El Nino.
Pengerusinya, Muhammad Husain berkata, langkah itu bagi memastikan 26,000 hektar kawasan padi di bawah selian agensi tersebut dapat berfungsi dengan baik sekiranya berdepan El Nino yang dijangka berlarutan sehingga Mac ini.
Menurutnya, jumlah tersebut merupakan tambahan kepada 86 unit pam sedia ada dan melibat perbelanjaan sebanyak RM200,000 melalui peruntukan Kada.
“Keadaan tahun ini berbeza berbanding tahun lalu apabila masalah bekalan air berlaku terlebih dahulu sebelum kita mengambil tindakan lanjut. Pada tahun ini, Kada bersedia lebih dahulu sebelum berlaku masalah berkenaan.
“Jadi, semua kemudahan pam mudah alih termasuk pam mengundur sudah ada. Apabila ada kawasan berdepan masalah pengairan, pam itu akan terus dihantar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi Kada di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad memberitahu, selain itu, Kada turut menggunakan pam mudah alih bagi memastikan jadual penanaman padi tidak tergendala.
Katanya, Kada menggunakan banyak kaedah termasuk menambah tiga unit pam sokongan dan membina pam kitar semula. – KOSMO! ONLINE