PENCARIAN ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan memasuki fasa akhir selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerima 23 permohonan calon dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, tempoh permohonan yang ditutup kelmarin menyaksikan pihaknya menerima 18 permohonan daripada luar negara serta lima tempatan.
Meskipun tidak mendedahkan calon luar negara, namun Manjit memberitahu, tiga daripada lima permohonan tempatan ialah Muhammad Dharma Raj Abdullah, Arul Selvaraj dan Sarjit Singh.
“Permohonan jawatan ketua jurulatih sudah ditutup semalam (kelmarin) dan kita menerima 23 permohonan. 18 daripadanya calon dari luar negara, manakala lima lagi adalah tempatan.
“Satu kejutan kerana tidak sangka ramai akan mohon. Berhubung calon dari luar negara, kita dapat permohonan dari Australia, Eropah, Pakistan dan India. Calon tempatan pula terdiri daripada Sarjit, Arul dan Dharma,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Beliau menjelaskan, MHC akan membuat tapisan terhadap 23 calon itu dengan lima sahaja akan disenarai pendek sebelum keputusan dibuat hujung bulan ini.
“Kami akan mengadakan mesyuarat Selasa ini untuk senarai pendek calon-calon, mungkin lima daripada 23 permohonan. Mereka akan dipanggil temu duga dan kami akan umumkan ketua jurulatih akhir bulan ini.
“Calon-calon ini perlu menunjukkan apa pencapaian mereka di peringkat antarabangsa kerana itu paling mustahak. Kita tidak akan panggil jurulatih yang tiada sebarang pencapaian,” ujar Manjit.
Berdasarkan senarai calon tempatan, Dharma Raj dilihat sebagai prospek terbaik untuk kembali membimbing Speedy Tigers berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa.
Pengendali berusia 54 tahun itu yang merupakan Pengarah Teknikal Persatuan Hoki Indonesia dianggap memiliki sentuhan ajaib apabila berjaya menaikkan sukan hoki di negara tersebut termasuk memenangi pingat emas dalam dewan lelaki pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Ketika bersama Malaysia, Dharma Raj pernah mengemudi Malaysian Tigress melakar sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia 2017 selain memastikan skuad remaja lelaki meraih tempat keempat Piala Dunia Hoki Remaja 2013.