CHANGLUN – Kira-kira 70 penduduk di Felda Laka Selatan, di sini terpaksa beralih daripada menoreh getah pada sebelah pagi kepada waktu malam berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sejak dua bulan lalu.
Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd. Jamil Shahbidin, 63, berkata, rata-rata penoreh terpaksa memendekkan tempoh menoreh iaitu dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi kerana cuaca terlalu panas menyebabkan hasil yang diperoleh sedikit.
“Disebabkan itu, lebih 90 peratus penoreh di sini keluar menoreh pada waktu malam yang mana tempoh menoreh lebih lama kerana cuaca sejuk. Kami akan mula menoreh kira-kira pukul 9 malam dan kadang-kadang boleh sampai hingga pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di Ladang Felda Laka Selatan, malam tadi.
Katanya, tempoh menoreh yang panjang diperlukan memandangkan hasil diperoleh ketika pokok getah menggugurkan daun dan mengeluarkan pucuk baharu akan berkurangan.
“Kalau siang, hasil sedikit sebab susu getah menitik dua jam sahaja dan jika malam boleh menitik antara tiga hingga lebih lima jam,” ujarnya.
Penoreh, Rodhi Md. Rejab, 47, berkata, dia juga membuat keputusan untuk menoreh pada waktu malam kerana suhu lebih sejuk.
“Saya rasa lebih selesa menoreh pada waktu malam kerana cuaca sejuk, hasil pun lebih kerana boleh bekerja dalam tempoh lama.
“Pada musim kemarau dan musim daun luruh ini, beza menoreh siang dan malam adalah antara 30 hingga 40 peratus. Contohnya kalau menoreh siang sekarang ini dalam seminggu dapat 200 kilogram (kg) sekerap, kalau malam dalam jangka masa sama akan dapat antara 250 ke 300 kg,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE