BEIJING – Seekor beruang hitam Asia menyerang jurulatihnya semasa melakukan pertunjukan sarkas di hadapan penonton di Huzhou, China, lapor akhbar Daily Star semalam.
Pertunjukan itu bertukar huru-hara selepas beruang bernama Xiong Xiong menyerang jurulatih di atas pentas sehingga mangsa jatuh ke atas lantai. Rakan sekerja mangsa kemudian cuba membantunya melarikan diri.
Media di China melaporkan bahawa enam kakitangan sarkas bergelut untuk melepaskan cengkaman beruang itu sebelum memasukkannya semula ke dalam kandang dalam kejadian pada Selasa lalu.
Video kejadian itu tular di aplikasi Douyin dan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Beruang kecil ini sangat terganggu. Saya hanya dapat membayangkan penderaan yang dialaminya,” komen seorang netizen.
“Batalkan persembahan haiwan, sangat menyedihkan untuk menonton!” komen netizen lain. – AGENSI