fbpx

BATC 2024: Jun Hao terkejut turun perseorangan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO terduduk kecewa ketika tewas kepada Hong Yang pada aksi perseorangan pertama final BATC 2024 di SCCC, Shah Alam sebentar tadi. - AMIR KHALID

SHAH ALAM – Masalah kesihatan yang dihadapi perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menyaksikan dia tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 menentang China hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam itu, Leong Jun Hao terpaksa mengisi slot selaku perseorangan pertama sebelum tewas 19-21, 17-21 kepada Weng Hong Yang.

Bekas juara remaja Asia itu mengakui sedikit terkejut sebaik sahaja mengetahui dia perlu menggantikan Zii Jia sebagai perseorangan pertama pada perlawanan yang dianggap cukup penting itu.

“Bagi saya memang agak sukar perlu turun sebagai perseorangan pertama. Saya rasa ada sedikit rugi kerana melakukan beberapa kesilapan mudah ketika berada dalam situasi mata penting pada perlawanan tersebut.

“Saya dapat tahu tengah hari ini perlu turun beraksi sebagai perseorangan pertama. Walaupun agak terkejut tetapi saya memang perlu turun bermain dan hanya melakukan persediaan seperti biasa,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Tambah Jun Hao, dia menganggap pertemuan di BATC sangat berbeza berbanding aksi individu meskipun pernah menewaskan Hong Yang sebelum ini ketika bertemu di pusingan kelayakan Malaysia Masters 2022.

“Memang pernah menang dengan dia sebelum ini tetapi ia sudah lama berlalu. Selain itu, ini adalah kejohanan berpasukan dan juga final, jadi memang berbeza dengan pertemuan sebelum ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI