LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp seolah-olah memberi gambaran bahawa jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso sebagai calon berpotensi untuk mengambil alih tempatnya selaku pengendali The Reds.
Jurulatih dari Jerman itu melabelkan Alonso sebagai salah seorang pengendali terbaik apabila berjaya mengemudi Leverkusen dari kedudukan dua tercorot ke persada Bundesliga dalam tempoh 16 bulan sahaja.
Meskipun tidak terlibat dalam pencarian pengurus baharu, namun pujian Klopp terhadap Alonso seolah-olah menggambarkan bekas pemain Real Madrid dan Liverpool itu adalah calon tepat untuk membimbing pasukan tersebut.
“Xabi (Alonso) sudah melakukan tugas yang sangat baik dan tidak pelik jika namanya turut menjadi spekulasi. Generasi baharu sudah ada di sini dan saya fikir Xabi merupakan antara jurulatih terbaik ketika ini.
“Beliau merupakan bekas pemain berkelas dunia selain berada dalam keluarga yang berada di bidang kejurulatihan. Corak permainan serta percaturannya dalam jendela perpindahan sangat menakjubkan,” katanya.
Klopp yang pernah membimbing Borussia Dortmund dalam Bundesliga mengakui tidak pernah melihat mana-mana pasukan mampu bermain lebih baik berbanding Bayern Munich seperti ditunjukkan Leverkusen musim ini.
“Saya berada dalam Bundesliga untuk tempoh yang cukup lama dan tidak pernah ada pasukan lebih baik berbanding Bayern. Ini adalah kali pertama ia dapat disaksikan walaupun Leverkusen boleh dianggap sebagai pasukan yang masih muda,” ujarnya. – AGENSI