PETALING JAYA – “Kami bersyukur kerana pengalaman itu, masing-masing kini sudah berjumpa dengan ‘the right man’ (suami yang tepat).”
Demikian kata pelakon Fasha Sandha dan Nora Danish apabila memberitahu hubungan keruh yang pernah terjadi antara mereka, kini telah kembali jernih, seiring dengan peningkatan usia masing-masing.
Fasha dan Nora yang ditemui Kosmo! Online berkata, mereka sebenarnya sudah lama kembali berbaik secara tiba-tiba dan mahu melupakan sengketa yang pernah terjadi antara mereka berdua.
“Apa yang pernah berlaku antara kami dahulu, tidak lagi penting. Kami pun sudah semakin dewasa dan punya anak-anak.
“Anak kami adalah adik-beradik. Jadi kami semua adalah satu keluarga. Kami juga bersyukur, kerana pengalaman itulah, masing-masing sudah berjumpa dengan lelaki yang tepat,” ujar Fasha kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, kedua-dua pelakon itu turut berkata, sengketa yang pernah terjadi antara mereka, telah pun ditentukan oleh Allah SWT dan harus melaluinya dengan hati terbuka.
“Pada saya, apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah adalah sebaik-baik perancangan. Sekarang kami saling menyayangi.
“Sebenarnya kami sudah lama berbaik semula. Apa yang berlaku pada kami dahulu, adalah ketika masing-masing masih mentah dan darah sedang panas,” ujar Nora.
Pada masa sama, baik Nora mahupun Fasha, kejadian lalu itu membuatkan mereka kini menjadi lebih matang dan boleh berfikir secara rasional.
Bahkan kedua-duanya tidak menolak untuk bergandingan bersama-sama dalam sebuah naskhah jika diberi kesempatan suatu hari nanti.
“Apa yang penting, perkara yang terjadi dahulu membuatkan kami menjadi lebih matang dan boleh berfikir secara rasional.
“Pengalaman lalu turut mengajar kami untuk menjadi lebih dewasa. Kami juga tidak menolak untuk berlakon bersama-sama selepas ini.
“Lagi pun kami berbaik secara semula jadi tanpa dirancang atau atas nasihat daripada sesiapa,” jelas Nora dan Fasha.
Dalam pada itu, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 39, memberitahu hubungannya dengan Nora kembali terjalin jernih selepas pelakon itu mengikuti akaun Instagramnya.
“Nora ‘follow’ saya dalam Instagram. Saya jadi terfikir sama ada nak ikut dia balik atau tidak. Selama dua minggu juga saya fikir.
“Tapi saya nampak keikhlasan dan kebaikan hati Nora. Kami ada berkomunikasi dalam Instagram, sebelum menjadi rapat dan berbaik semula secara semula jadi,” katanya.
Ujar Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, walaupun memerlukan masa untuk kembali berbaik semula, namun dia lega apabila hubungannya dengan Fasha tidak lagi keruh seperti sebelum ini.
Malah, Nora juga tidak berasa kekok, saat kali pertama bertentang mata dengan Fasha, selepas sengketa panjang yang terjadi antara mereka berdua.
“Kita perlu reda dengan dugaan. Apa yang terjadi sudah pun ditakdirkan walaupun memerlukan masa. Kali pertama kami berjumpa semula, masing-masing tidak ada rasa kekok. Masing-masing nampak Ikhlas,” katanya.
Untuk info, hubungan antara Nora dan Fasha pernah berada dalam keadaan tegang, selepas Fasha dituduh menjadi punca rumah tangga antara Nora dengan bekas suaminya, Jejai atau Datuk Rizal Ashram Ramli runtuh.
Hasil perkongsian hidup, Nora dan Jejai yang berkahwin pada 2006, dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Putera Rayqal yang kini berusia 15 tahun. Pasangan itu bercerai pada 2008.
Selepas Nora dan Jejai berpisah, lelaki itu berkahwin dengan Fasha yang didakwa menjadi punca berpisahan Nora.
Perkahwinan antara Fasha dan Jejai pada 2012, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 11, dan Putri Raysha Jemaima, 9. Namun, pasangan itu bercerai pada 2016.
Kini, Nora sudah berkahwin dengan Nedium Nazri pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Neqayl Nedim, 6.
Fasha pula mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pelakon, Aidil Aziz pada 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira, 4. – KOSMO! ONLINE