fbpx

Rexy kecewa pemain wanita buang peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (belakang) dan Thinaah gagal menepati jangkaan ramai apabila tewas 14-21, 21-18, 15-21 kepada pasangan Indonesia pada aksi suku akhir BATC semalam. – AMIR KHALID

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kecewa dengan prestasi skuad wanita negara yang tidak menggunakan peluang terbaik apabila tewas kepada Indonesia 0-3 di suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 semalam.

Rexy mengharapkan permai­nan lebih baik ditonjolkan oleh pemain-pemainnya kerana Indonesia hanya menghantar skuad kedua mereka di BATC kali ini.

Sebaliknya, Indonesia bijak mengambil segala peluang terhadap aksi gugup pemain Malaysia dengan mencatat kemenangan selesa 3-0 dalam aksi di Pusat Konvensyen Setia City itu.

“Kita berusaha untuk sampai ke suku akhir, tetapi melihat kepada tahun ini memang berbeza dengan dua tahun lepas. Keba­nyakan pasukan tidak menghantar gandingan terkuat seperti Jepun dan China.

“Bila kita berdepan Thailand, saya lihat skuad negara mampu pergi lebih jauh ke­rana Indonesia tidak turunkan barisan terbaik mereka seperti Gregoria Mariska Tunjung mahupun Apriyani Rahayu juga tiada dalam skuad.

“Kita lihat perlawanan setara antara kedua-dua pasukan dan siapa yang tampil lebih baik mungkin mampu ke separuh akhir. Tetapi pemain kita melepaskan satu kesempatan kerana perlawanan ini sudah masuk ke pusingan kalah mati.

“Mereka seharusnya memberikan sehabis baik dalam ge­langgang. Saya akui pemain negara melepaskan peluang yang mereka ada,” katanya.

Pemain perseorangan negara K. Letshanaa tampil dengan cukup baik, namun terpaksa akur dengan kehebatan Putri Kusuma Wardani apabila tewas 13-21, 21-18, 13-21.

Biarpun mengharapkan kebangkitan Pearly Tan-M. Thinaah, namun beregu wanita negara itu dikejutkan kekalahan 14-21, 21-18 dan 15-21 kepada Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto.

Nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan kedua, Wong Ling Ching yang bermula cemerlang apabila menang 21-14 pada set pertama sebelum akhirnya tumbang kepada Ester Nurumi Tri Wardoyo, 15-21, 16-21 pada dua set berikutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI