JAKARTA – Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto hampir pasti memenangi pilihan raya Presiden (pilpres) dengan margin yang besar, demikian menurut keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) semalam selepas 50 peratus undi telah dikira.
Keputusan rasmi hanya diketahui lewat Mac ini tetapi petunjuk awal semuanya menunjukkan bahawa bekas jeneral berusia 72 tahun itu adalah bakal pengganti pemimpin popular Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Selepas separuh daripada keseluruhan kertas undi dikira, Prabowo menguasai 56.89 peratus undi, lebih dua kali ganda berbanding pesaing terdekatnya dan sudah cukup untuk kemenangan majoriti pada pusingan pertama pilpres, demikian menurut laman web suruhanjaya pilihan raya.
Bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan pula meraih 25.27 peratus setakat semalam diikuti bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo yang mendapat 17.84 peratus undi.
“Alhamdulillah, kita mesti bersyukur dan terus memantau keputusan rasmi KPU,” kata Prabowo dalam satu kenyataan di laman Instagram lewat kelmarin.
Pemimpin populis itu berkata pada Rabu lepas bahawa kemenangan beliau adalah ‘kemenangan untuk semua rakyat Indonesia’, berdasarkan kiraan cepat yang dibenarkan oleh pemerintah.
Sistem kiraan cepat yang tidak pernah silap sejak digunakan itu menunjukkan bahawa Prabowo mendapat kemenangan majoriti pada pusingan pertama pilpres.
Bagaimanapun, Anies dan Ganjar berkata, mereka tetap tidak mengaku kalah dan akan terus menunggu keputusan rasmi.
Prabowo memerlukan lebih 50 peratus undi keseluruhan dan sekurang-kurangnya satu perlima daripada undi di lebih separuh daripada 38 wilayah Indonesia untuk menjamin beliau dapat menduduki kerusi Presiden. Penganalisis-penganalisis politik bagaimanapun berkata, kemenangan Prabowo sudah hampir pasti.
Bekas jeneral itu berkata, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menelefon untuk mengucapkan tahniah kepada beliau. Ia diikuti oleh pemimpin Singapura, Malaysia dan Sri Lanka.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat memilih pendekatan lebih berhati-hati apabila Washington hanya mengucapkan tahniah kepada rakyat Indonesia atas ‘kehadiran yang memberangsangkan’ pada pilihan raya kali ini tanpa menyebut nama Prabowo.
Dalam perkembangan berkaitan, Jokowi memberitahu pemberita kelmarin bahawa beliau telah bertemu Prabowo pada hari sebelumnya untuk mengucapkan ‘tahniah’.
Jokowi telah dituduh oleh beberapa pemerhati sebagai menyokong kempen bekas pesaingnya itu dalam usaha untuk mewujudkan dinasti politik keluarga sebelum meninggalkan jawatan.
Anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36, bertanding sebagai regu Prabowo untuk jawatan Naib Presiden Indonesia pada Pilpres 2024.
Sementara itu, sebilangan aktivis yang mana anak-anak mereka ditembak mati atau hilang oleh pasukan tentera pada tahun 1990-an, berkumpul di luar Istana Presiden untuk membantah kemenangan Prabowo.
Lebih 100 orang berkumpul lewat kelmarin sambil membentangkan sepanduk bertulis ‘selamatkan demokrasi’.
Mereka menuduh Prabowo mengarahkan penculikan aktivis demokrasi menjelang berakhirnya pemerintahan diktator Suharto selama tiga dekad. Prabowo menafikan dakwaan mereka dan tidak pernah didakwa berhubung kes tersebut.
Lebih daripada 12 orang yang hilang itu tidak pernah ditemui. – AFP