fbpx

Lima kelongsong peluru ditemui di lokasi berbalas tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi suspek mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil di Napoh, dekat Jitra, semalam.

ALOR SETAR – Polis menemui dua kelongsong peluru dipercayai dilepaskan daripada pistol jenis semi auto milik seorang lelaki yang mati ditembak, dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, di Napoh, Jitra dekat sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya turut menemui tiga lagi kelongsong peluru yang dilepaskan anggotanya.

Katanya, semua kelongsong peluru tersebut ditemui di lokasi kejadian hasil pemeriksaan menyeluruh anggota forensik dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Mayat suspek berusia 57 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk proses bedah siasat pada hari ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kegiatan penyeludupan senjata api.

Kosmo! Online semalam melaporkan, polis menemui dua pucuk pistol dan 240 butir peluru di dalam kereta dinaiki suspek lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, Napoh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, suspek warga tempatan ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di dada.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes dadah dan satu jenayah melibatkan senjata api tiruan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI