fbpx

Kapasiti Empangan Air Itam kurang 0.04 peratus sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun 0.4 peratus sejak 11 hari, sehingga semalam.

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif Empangan Air Itam dilaporkan menurun sebanyak 0.4 peratus iaitu kurang daripada 0.04 peratus sehari dalam tempoh 11 hari lalu, sehingga semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K. Pathmanathan berkata, kapasiti efektif empangan itu ketika ini adalah 32.4 peratus berbanding 32.8 peratus pada 5 Februari lalu.

Menurutnya, ini berikutan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) oleh PBAPP bagi mengekalkan kapasiti efektif empangan itu selama yang mungkin, sehingga musim hujan yang akan datang.

“Bagaimanapun, dengan hanya 1.5 milimeter (mm) taburan hujan sejak 1 Februari lalu dan suhu meningkat sehingga 36 darjah Celcius, purata aliran masuk air ke Empangan Air Itam adalah kurang daripada biasa.

“Daripada 15 juta liter sehari (JLH), aliran masuk empangan telah berubah-ubah antara 10 dan 12 JLH dari tiga muka sauk empangan iaitu muka sauk Balik Pulau, Sungai Tepi dan Sungai Pinang Barat.

“Hasilnya, kapasiti efektif empangan menurun sedikit sebanyak 0.4 peratus dalam tempoh 5 hingga 16 Februari,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, konsep AIDAP 2024 dilaksanakan adalah bagi meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam secara beransur-ansur, dengan kurang melepaskan air daripada purata aliran masuk ke empangan.

Dalam pada itu, katanya, paras air di Sungai Muda adalah agak sihat dengan bacaan 2.02 meter, semalam.

“Kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing 74.8 peratus dan 100 peratus.

“Kecuali berlakunya kejadian yang tidak diingini, PBAPP sepatutnya mampu untuk mengekalkan langkah-langkah kecemasan AIDAP 2024 dengan selamat untuk tempoh 30 hingga 60 hari akan datang,” ujarnya.

Justeru katanya, PBAPP memohon kerjasama dan sokongan pengguna di Air Itam untuk menggunakan air dengan berhemat sebagai langkah membantu mengekalkan air di empangan itu.

“Oleh itu, kami merayu kepada pengguna di Air Itam untuk seboleh mungkin elakkan menggunakan hos, kurangkan mencuci kereta dan motosikal, siram taman dan tumbuh-tumbuhan dengan bekas penyiram termasuk bersihkan rumah serta halaman dengan penyapu, mop atau pembersih vakum,” tambahnya.

Kelmarin, media melaporkan Empangan Air Itam mampu bertahan sehingga 32 hari lagi dan paras air di empangan ini kekal sama sejak 10 hari lalu susulan pelaksanaan pelan untuk mengurangkan pengekstrakan air dari empangan tersebut. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI