SHAH ALAM – Penyerang sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari memberi gambaran bahawa kariernya bersama pasukan negara sudah hampir ke penghujung selepas lebih 10 tahun menabur bakti.
Spekulasi berhubung masa depannya bersama skuad Speedy Tigers tercetus selepas dia memuat naik kenyataan dalam Insta Story miliknya seolah-olah sudah bersedia menamatkan khidmat sebagai pemain Malaysia.
“Bismillah, selamat tinggal Speedy Tigers,” tulis pemain berusia 33 tahun yang berasal dari Kuala Terengganu itu di laman Insta Story miliknya hari ini.
Sekiranya perkara tersebut benar, maka ia mungkin menjadi kehilangan besar buat skuad hoki kebangsaan memandangkan dia sering dianggap sebagai pemain sandaran setiap kali Malaysia beraksi di peringkat antarabangsa.
Faizal juga bakal meninggalkan legasi yang cukup besar selepas menabur bakti bersama Speedy Tigers sejak 2009 selain menjaringkan 176 gol dalam 226 penampilan.
Untuk rekod, pemain yang mesra dipanggil ‘Abe’ itu pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 selepas berjaya melakukan lapan jaringan.
Dia juga merupakan sebahagian daripada skuad negara yang memenangi dua pingat perak Sukan Asia pada edisi 2010 di Guangzhou, China serta 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Selain itu, Faizal juga merupakan salah seorang daripada dua pemain yang pernah beraksi dalam Liga Hoki Australia bersama Southern Hotshots pada 2011 dan berjaya menjaringkan tiga gol. – KOSMO! ONLINE