SHAH ALAM – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menampilkan aksi cukup baik ketika menyumbang mata pertama Malaysia ketika menentang Jepun pada separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.
Pada aksi perseorangan pertama di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam sebentar tadi, pemain No.10 dunia itu tidak berdepan banyak masalah ketika menewaskan Kenta Nishimoto 21-18, 21-15.
Zii Jia juga dilihat memiliki keyakinan cukup tinggi apabila meraikan kutipan mata dengan melakukan tarian mirip seperti pemain tengah Aston Villa, Douglas Luiz dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Sudah tentu keyakinan saya hari ini datang daripada penonton di stadium. Kadang-kadang apabila mental fikir banyak, saya hanya cuba untuk nikmati permainan memandangkan saya pernah kalah kepadanya di China Masters.
“Selain itu, tidak melakukan banyak kesilapan turut menjadi pembakar semangat untuk saya hari ini. Kalau tengok dua perlawanan (terdahulu) saya di sini, memang banyak perkara positif boleh diambil,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, dia turut mengakui kecergasannya belum berada pada tahap 100 peratus, namun masih turun beraksi kerana merasakan dia mampu untuk menamatkan perlawanan tersebut.
“Apa yang pasti, tahap kecergasan saya belum 100 peratus tetapi selagi rasa mampu, saya akan turun bermain sebagai pemain Malaysia. Pasukan saya juga sentiasa pantau tahap kecergasan,” ujar Zii Jia. – KOSMO! ONLINE