PETALING JAYA – Keseronokan percutiaan pelakon Afieq Shazwan terbantut apabila terlibat dalam kemalangan di Krabi, Thailand kelmarin sehingga terpaksa bergegas pulang ke tanah air semalam.
Afieq atau nama penuhnya Mohammad Afieq Shazwan Zamros, 26, yang mengambil keputusan untuk membatalkan percutiannya turut memaklumkan berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami luka ringan serta tiada sebarang kecederaan parah.
“Saya mengalami kemalangan kelmarin, ketika baru sahaja tiba di Krabi.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk terus pulang ke Malaysia sebab banyak luka di badan,” katanya dalam Instagram.
Dalam perkongsian sama, dia turut memuat naik foto wajah dan beberapa anggota badannya yang cedera akibat kemalangan tersebut.
“Ramai yang bertanya mengapa saya pulang ke Kuala Lumpur secara mengejut semalam tetapi serba salah untuk beritahu seba tak mahu keluarga risau.
“Namun, apabila tiba di rumah, saya perlu beritahu juga semua. Maaf sekiranya percutian terjejas kerana saya.
“Insya-Allah selepas pulih, kita akan berjumppa lagi,” ujarnya.
Difahamkan, pelantun lagu Lelaki Di Telefon itu bercuti dengan beberapa rakannya termasuk penyanyi Wani Syaz. – KOSMO! ONLINE