fbpx

Zahiril Adzim buka butik, bertukang sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahiril berpendapat biarlah dia berpenat-penat menguruskan perniagaan sendiri pula memandangkan industri seni tanah air kini dibanjiri lambakan bakat baharu. - Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

PETALING JAYA – Bertahun menyimpan hasrat untuk memiliki perniagaan sendiri, aktor Zahiril Adzim bersyukur merealisasikan impian apabila membuka sebuah butik sebagai persediaan bersara kelak.

Ujar pemilik nama lengkap Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 40, itu, bisnes terbabit diusahakan dengan hasil titik peluh bahkan dia menggunakan kepakaran seni pertukangan dimilikinya membangunkan premis tersebut.

“Saya baru buka butik yang saya kongsi bersama sahabat, Nafiez Zaidi. Tujuh bulan juga kami bertukang. Ini baru siap dan dilancarkan, banyak barang kami sudah dijual kepada pelanggan.

“Mungkin ini akan jadi ‘escape plan’ saya. Mungkin juga jadi perancangan masa depan, insya-Allah saya sedang teroka. Saya tidak akan buat benda yang saya tak minat.

“Ini juga boleh menjadi penambah pendapatan. Saya buat ini untuk isteri dan anak, duit saya untuk mereka. Lagi pula, saya sudah masuk usia 40 tahun, tiada apa nak kejar lagi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kongsi pelakon filem Bunohan itu, butiknya itu juga bakal dijadikan ‘clubhouse’ khas buat kenalan rapat dan peminat datang meluangkan masa bersamanya.

Paling utama kata Zahiril, biarlah dia berpenat-penat menguruskan perniagaan sendiri pula memandangkan industri seni tanah air kini dibanjiri lambakan bakat baharu.

“Mungkin cara saya nak berjumpa dengan orang, boleh buat di butik. Saya pun tak tahu berapa lama saya dalam industri ini sebab ada gelombang baru akan sampai dan kita juga mengalu-alukan pelakon baharu.

“Ini masa mereka dan kita boleh duduk di belakang mengajar dan menyokong. Bagaimana saya disokong dan diajar oleh ‘batch’ Sahronizam Noor, begitu juga saya menyokong pelakon baharu.

“Saya nak duduk belakang kamera pula sebab berlakon penat tubuh badan, tukar baju dan sebagainya, jadi mungkin sudah tiba masa saya penat minda uruskan perniagaan pula,” ujarnya serius.

Dalam perkembangan lain, Zahiril tampil dengan filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang sudah pun ditayangkan di pawagam bermula 15 Februari lalu.

Filem tersebut dibintangi Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama dan Putri Amirah Maisara. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI