SHAH ALAM – Khabar duka buat kem badminton negara apabila dua jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong disahkan mengalami kecederaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.
Tze Yong yang diturunkan pada perlawanan pertama suku akhir itu hanya mampu bertahan kira-kira tiga minit ketika berdepan lawan dari Singapura, Jason Teh sebelum membuat keputusan tidak meneruskan perlawanan tersebut.
Difahamkan, Tze Yong mengalami kecederaan belakang sekali lagi seperti dilaluinya sewaktu Terbuka Malaysia pada bulan lepas.
Sementara itu, Malaysia turut berdepan nasib kurang baik apabila Zii Jia pula mengalami ‘sinus’ selepas perlawanan menentang Taiwan semalam dan telah dinasihatkan oleh pakar untuk berehat.
“Selepas perlawanan menentang Brunei, Tze Yong telah menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mengesahkan bahawa dia tidak 100 peratus cergas. Oleh itu, dia direhatkan menentang Kazakhstan dan Taiwan.
“Tze Yong juga telah menjalani rawatan di hospital semalam bagi menghadapi perlawanan menentang Singapura dan memastikan dia berada dalam keadaan terbaik.
“Memandangkan Zii Jia juga jatuh sakit selepas perlawanan menentang Taiwan semalam dan dinasihatkan oleh pakar untuk berehat kerana masalah sinus tersebut.
“Oleh itu, jurulatih memutuskan untuk menurunkan Tze Yong sebagai perseorang lelaki pertama selain mengekalkan Leong Jun Hao dan Eogene Ewe Eon,” kata BAM dalam satu kenyataan di Instagram rasmi.
Dalam pada itu, Tze Yong mengakui dia masih bergelut dengan kesakitan dan belum pulih sepenuhnya.
“Saya rasa masih ada sakitlah dan saya belum pulih 100 peratus. Sebab tadi pun saya main berapa mata sahaja,” katanya. -KOSMO! Online