LAZIO – Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel berang dengan prestasi hambar yang ditampilkan barisan pemainnya ketika tewas 0-1 kepada Lazio pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Stadio Olimpico awal pagi semalam.
Lazio memastikan bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik di Allianz Arena pada 6 Mac ini menerusi jaringan tunggal yang dilakukan Ciro Immobile menerusi sepakan penalti pada minit ke-69.
Tuchel berkata, pemain-pemainnya mensia-siakan banyak peluang terhidang, terutamanya di separuh masa pertama meskipun Bayern merupakan pasukan yang lebih baik sepanjang perlawanan tersebut.
“Pada separuh masa pertama, kami sepatutnya mendahului perlawanan kerana memiliki tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Kami tidak sepatutnya mensia-siakan peluang terhidang.
“Memasuki separuh masa kedua, saya tidak pasti mengenai karakter pemain apabila mereka seolah-olah menampilkan aksi ‘kelakar’. Kekalahan ini pasti memberikan kesan kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berang dengan kesilapan individu yang dilakukan sehingga menyaksikan pemain pertahanan, Dayot Upamecano dilayangkan kad merah pada minit ke-67 selain memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.
“Kami melakukan banyak kesilapan individu sehingga memberikan sepakan penalti kepada lawan selain dilayangkan kad merah. Saya tidak boleh terima kekalahan yang tidak sepatutnya dialami Bayern,” ujar Tuchel. – AGENSI