fbpx

Simpanan peribadi lebih RM24,198, wajib bayar zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakat wang simpanan antara kewajipan bagi umat Islam tertakluk kepada syarat cukup nisab dan haul yang ditetapkan oleh syarak. - Gambar hiasan

SEGELINTIR masyarakat menyangkakan apabila menyimpan wang melalui institusi kewangan atau perbankan yang dikatakan patuh syariah, mereka menganggap sudah ‘selesai’ hal berkaitan pengeluaran zakat wang simpanan.

Hakikatnya, kepatuhan syariah oleh institusi kewangan atau perbankan tersebut adalah dari segi proses, namun zakat wang simpanan belum lagi selesai.

Menjelaskan perkara tersebut, Penolong Pengurus Unit Dakwah Swasta, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd. Dziyaulhak Hashim berkata, zakat wang simpanan adalah kiraan kepada wang dalam simpanan yang perlu dizakatkan tertakluk kepada syarat cukup nisab dan haul.

Menurutnya, nisab terbaharu tahun 2024 ditetapkan bagi zakat wang simpanan untuk umat Islam di Wilayah Persekutuan adalah pada kadar RM24,198.

“Justeru, mana-mana wang simpanan yang cukup setahun melepasi nisab tersebut adalah tertakluk kepada zakat wang simpanan. Sebagai contoh, jika individu itu mempunyai simpanan RM100,000 setahun, ia kemudian didarab dengan 2.5 peratus kadar zakat.

“Misalnya dia menyimpan di lima akaun bank, jadi pengiraannya adalah campur semua jumlah tersebut apabila cukup haul serta didarab dengan 2.5 peratus kadar zakat.

“Bagaimanapun, zakat wang simpanan ini dikecualikan bagi simpanan Lembaga Tabung Haji (TH) serta saham Bank Rakyat,” katanya menerusi wawancara mengenai zakat wang simpanan di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd. Dziyaulhak memberi penjelasan mengenai zakat wang simpanan pada sesi wawancara di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

Untuk simpanan emas pula, ia adalah satu bentuk kekayaan lain di bawah zakat emas, jadi kaedah pengiraannya tidak sama dengan zakat wang simpanan.

Beliau turut menjelaskan berhubung simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak perlu dibayar zakat selagi mana ia belum dimiliki sepenuhnya oleh pencarum.

“Hal ini kerana belum cukup satu syarat iaitu pemilikan penuh, jadi tak tertakluk mana-mana jenis zakat.

“Jika sudah boleh bawa keluar ketika umur sudah 50 tahun, maka wang tersebut perlu dizakatkan atas zakat KWSP dengan nisab dan haul yang ditetapkan,” ujarnya.

Mengenai persoalan wang simpanan daripada gaji yang telah dibayar zakat pendapatan, beliau turut menerangkan kaedah kiraan tersebut.

“Zakat pendapatan ini tidak tertakluk kepada haul dan itu dipegang di dalam negara berdasarkan pendapat Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud. Katakanlah dia membayar zakat untuk gaji yang diterima dan secara istiqamah menyimpan RM500 setiap bulan.

“Cukup setahun dia berjaya menyimpan RM6,000 daripada gajinya yang telah dizakatkan untuk tahun itu. Dalam masa sama, ia menjadikan wang simpanan keseluruhan dimilikinya mencecah RM54,000.

“Untuk membayar zakat wang simpanan tersebut, kiraanya adalah RM54,000 tolak RM6,000 dan baki itu kemudian didarabkan dengan 2.5 peratus bagi mendapatkan jumlah zakat yang perlu dibayar mengikut syarak.

“Kaedah ini digunakan kerana pembayaran zakat tidak dizakatkan pada satu sumber yang sama atau dua jenis zakat, dan ini sekali gus menunjukkan sesuatu syariat itu tidak membebankan,” katanya.

Mohd. Dziyaulhak berkata, tanggungjawab menunaikan zakat wang simpanan juga tidak terkecuali kepada mereka yang tidak bekerja atau kanak-kanak sekiranya simpanan mereka melebihi kadar nisab ditetapkan iaitu RM24,198.

Katanya, pemilik harta belum baligh atau kanak-kanak adalah di bawah tanggungjawab waris dalam menguruskan pengeluaran zakat atas harta mereka.

“Ini turut melibatkan orang kurang siuman kerana syarat zakat tidak menetapkan kepada orang berakal atau baligh sahaja,” katanya.

Mengakhiri wawancara tersebut, beliau berkongsi hikmah di sebalik kewajipan menunaikan zakat yang mana Allah SWT akan menjaga harta dan aset pembayar terbabit daripada kebinasaan.

“Hebatnya zakat ini ia ‘pelindung’ dan benteng kepada harta yang dimiliki. Sesungguhnya ada harta orang lain di dalam harta kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam untuk menunaikan zakat sekali gus sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Menunaikan tanggungjawab membayar zakat merupakan satu tanda kesyukuran umat Islam atas rezeki dan nikmat kurniaan Allah SWT. – Gambar hiasan

Ujarnya, dengan kadar 2.5 peratus yang telah ditetapkan, ia tidak membebankan umat Islam, bahkan tidak menyebabkan harta dimiliki pembayar zakat tersebut habis.

Ini berdasarkan surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud, ‘kalau kamu memberi pinjam (zakat) kepada Allah SWT, maka pasti aku akan bayar lebih daripada apa yang kamu pinjamkan’.

Beliau menjelaskan, ayat berkenaan membawa maksud iaitu apabila patuh tuntutan tersebut, Allah SWT akan memberi ganjaran melangkaui sangkaan hamba-Nya.

“Jadi jangan takut untuk bayar zakat simpanan…ada kan dalm diri rasa teruja dan seronok nak bayar zakat,” katanya.

Orang ramai boleh menunaikan zakat wang simpanan di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP atau secara dalam talian di www.zakat.com.my – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI