fbpx

Rayuan ditolak, ‘Ustaz Budak’ kekal dijel 13 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul Zaman (kiri) keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu. Gambar Fail.

PUTRAJAYA – Seorang bekas mudir yang digelar `Ustaz Budak’ kekal menjalani hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi seorang ahli perniagaan lelaki di sebuah hotel empat tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas menolak permohonan Syamsul Zaman Sukri, 36, untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman itu terhadapnya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Untuk rekod, rayuan bagi kes-kes yang bermula yang bermula di Mahkamah Majistret pada dasarnya berakhir di peringkat Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, perayu boleh mengemukakan rayuan sehingga ke Mahkamah Rayuan namun perlu mendapat kebenaran panel bersidang dengan mengemukakan persoalan undang-undang.

Mengikut pertuduhan itu, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang ahli perniagaan lelaki ketika itu berusia 30 tahun dengan cara mencium pipinya di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan pukul 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri yang mewakili Syamsul Zaman berhujah, wujud percanggahan yang material berhubung masa kejadian kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan secara tepat masa kejadian berlaku.

Hujah beliau, keterangan pendakwaan menyatakan masa kejadian pada 1.15 pagi, sedangkan mangsa yang juga pengadu kes dalam laporan polisnya menyebut ketika itu (1.15 pagi) dia baru tiba bersama-sama pemohon di pekarangan hotel berkenaan.

Pihak pembelaan turut menghujahkan, seorang lagi saksi pendakwaan secara spesifik menyatakan bahawa pengadu tidak berada dalam bilik bernombor 201 hotel itu seperti mana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Bagaimanapun, Hakim Hadhariah mencelah dengan menyatakan, isu berkaitan masa kejadian adalah fakta, bukan dikategorikan sebagai persoalan undang-undang yang sepatutnya dibangkitkan dalam permohonan kebenaran merayu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI