PETALING JAYA – Beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto ekoran mendahului perlumbaan merebut jawatan Presiden Indonesia.
Prabowo menerusi perkongsian di Instagramnya berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada lima pimpinan negara dengan ucapan berkenaan, walaupun pengiraan undi pilihan raya umum Indonesia (Pemilu 2024) masih berlangsung.
“Ucapan diterima daripada lima pimpinan negara, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, Wakil Perdana Menteri Australia, Richard Marles, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Srilanka, Ranil Wickremesinghe.
“Alhamdulillah, kita wajib bersyukur dan terus mengawal hasil rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU),” katanya. – KOSMO! ONLINE