PETALING JAYA – Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah menandatangani perjanjian pembiayaan ketiganya bersama syarikat teknologi hartanah, LiveIn.
Ia bagi membiayai sebahagian modal kerja dan perbelanjaan modal LiveIn di Malaysia, selain untuk menyokong rancangan pengembangan agresif syarikat itu di Thailand.
Pembiayaan tersebut menandakan satu lagi kejayaan dalam perkongsian produktif antara MDV dan LiveIn, yang pertama kali dimulakan pada 2021, apabila LiveIn menerima pusingan pembiayaan pertama daripada MDV di bawah program Hutang Teroka MDV.
LiveIn merupakan syarikat teknologi hartanah terkemuka yang menjadikan perumahan mampu milik dan selesa boleh diakses golongan muda di Asia Tenggara, dengan mengubah hartanah sedia ada menjadi rumah sewa untuk penginapan jangka panjang mampu milik melalui platform terurus offline ke online.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, pembiayaan LiveIn sejajar dengan mandatnya dalam menyokong syarikat permulaan teknologi berpotensi tinggi yang bersedia untuk memberi impak ketara dalam sektor masing-masing.
“Rekod pertumbuhan teguh LiveIn dan pendekatan inovatif mereka dalam sektor hartanah mencerminkan matlamat kami sendiri untuk memupuk syarikat teknologi tempatan baharu.
“Pembiayaan ini mewakili langkah penting dalam memperkukuh pertumbuhan syarikat permulaan teknologi Malaysia serta menekankan kekuatan dan keupayaan sektor teknologi Malaysia dalam pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama LiveIn, Keek Wen Khai berkata, pihaknya kekal komited untuk meneroka pasaran baharu dan terus berinovasi untuk merevolusikan industri.
“Suntikan dana baru ini mengukuhkan keyakinan kami dalam strategi pengembangan dan memberikan sumber tambahan untuk mempercepatkan pelaburan kami di rantau ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE