SEBERANG PERAI – Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk (CoPA 5G) di Pulau Pinang mencatatkan 90.3 peratus manakala 4G telah mencapai 99.88 peratus, setakat suku ketiga tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, menerusi projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), sebanyak 120 struktur pemancar baharu, 2,106 naik taraf stesen pemancar (4G/LTE) dan 308,072 ketersediaan sambungan gentian optik (premis) juga telah berjaya disiapkan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah banyak memudah cara pembangunan infrastruktur komunikasi di negeri ini termasuk pelaksanaan projek Jendela, Point of Presence (PoP), pengurusan bencana, pematuhan industri dan program advokasi strategik.
“Saya berharap agar kerjasama erat ini akan berterusan bagi memudah cara pembangunan infrastruktur komunikasi untuk manfaat bersama,” katanya ketika berucap pada Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai di sini, hari ini. Hadir merasmikan program tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, katanya, program yang dilaksanakan itu memfokuskan matlamat bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam talian melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi) iaitu salah satu inisiatif bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat SKMM yang diperkenalkan sejak 2007.
“PEDi yang pada mulanya menawarkan akses Internet secara kolektif di kawasan luar bandar, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan kini telah berevolusi sebagai pusat sehenti yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
“Setiap PEDi dilengkapi capaian Internet serta menawarkan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keusahawanan digital serta e-pembelajaran bagi manfaat komuniti setempat, khususnya 4 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), golongan belia dan pelajar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE