MIAMI – Seorang lelaki di negeri Florida membuat rakaman video dia makan daging ayam mentah setiap hari selama 100 hari dan disiarkan di platform Instagram serta TikTok, lapor portal berita Dexerto semalam.
Lelaki hanya dikenali sebagai John itu berbuat demikian untuk melihat kesan pada dirinya selepas makan daging ayam mentah.
Dalam video pertama pada 19 Januari lalu, lelaki itu duduk di hadapan kamera bersama daging ayam mentah dan satu gelas berisi telur mentah di atas meja.
“Hari Pertama makan ayam mentah selama 100 hari atau sehingga saya mendapat sakit perut. Jangan tiru perbuatan ini di rumah. Ikuti saya untuk melihat apa yang akan berlaku,” katanya di media sosial itu.
John kemudian makan daging ayam mentah tersebut sebelum rakaman video berakhir dengan dia menunjukkan gelas mengandungi telur.
Setakat Rabu lepas, John telah makan daging ayam mentah selama 27 hari dan dia terus melakukan perbuatan tersebut.
Namun, John masih berada dalam keadaan baik dan tidak menghidap sakit perut. – AGENSI