PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menjelaskan pengguna yang mendakwa dikenakan tambang tinggi sebanyak RM241 bagi laluan Gopeng–Johor Bahru baru-baru ini memilih perkhidmatan bas ekspres eksekutif.
APAD menerusi satu kenyataannya berkata, harga yang dibayar itu adalah berdasarkan penawaran dan permintaan selari dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurut APAD, ketetapan harga tambang bas ekspres adalah berdasarkan ketetapan jadual tambang.
“Kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres jenis eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.
“Sementara kadar tambang siling bagi perkhidmatan bas ekspres jenis ekonomi pula, ia dikawal selia dan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Walau bagaimanapun APAD memberitahu, pihak pengendali tidak boleh menaikkan harga tambang ekonomi sesuka hati tanpa kebenaran.
Sebarang kenaikan atau ketetapan harga perlu dirujuk kepada pihak APAD terlebih dahulu.
“APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenakan caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna.
“APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa bekerjasama dalam memastikan tiada pengusaha bas ekspres yang mengenakan kadar tambang sewenang-wenangnya,” tambah kenyataan sama.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang tinggi sehingga RM862 bagi perjalanan dua hala Gopeng, Perak dan Johor Bahru, baru-baru ini.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V Subbarow berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengguna selepas dia dan isterinya membayar tambang mahal dengan nilai berbeza bagi dua perkhidmatan bas sempena cuti Tahun Baru Cina.
Menurutnya, tambang bagi perjalanan dua hala yang dikenakan antara 270 peratus dan 344 peratus berbanding harga biasa RM70 seorang. – KOSMO! ONLINE