fbpx

Bekas Pengurus Besar didakwa lantik anak sendiri jadi pegawai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatan untuk melantik anak perempuannya sebagai penolong pegawai sumber manusia, enam tahun lalu.

Tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. didakwa terbabit dalam proses temuduga pemilihan jawatan dalam melantik anaknya, Nurnadiah ke jawatan Penolong Pegawai Sumber Manusia syarikat itu.

Kesalahan dilakukan di syarikat itu beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada 27 Disember 2018.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Mohd. Khairul Nizam Abd. Kadir dan Zulfahmi Abu Bakar bagaimanapun merayu jumlah rendah diberikan dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja atau mempunyai pencen, selain perlu menanggung lima anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Elesabet menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasport diserah kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan tarikh 15 Mac dep sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI