fbpx

BATC: Pemain beregu bakal galas tugas perseorangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik bangkit mengatasi wakil Singapura, Loh Kean Hean-Jia Hao Howin Wong di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID

SHAH ALAM – Kemenangan Malaysia melangkah ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 terpaksa dibayar harga mahal apabila kedua pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia dihimpit kecederaan.

Kemungkinan Tze Yong bukan pilihan terbaik untuk berada dalam skuad negara ketika ini kerana kecederaan belakang kembali menghantuinya apabila menyaksikan dia terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh ketika Malaysia menewaskan Singapura 3-1 pada aksi suku akhir, hari ini.

Lebih membimbangkan, Zii Jia juga bukan dalam keadaan terbaik apabila dia juga dimaklumkan mengalami masalah resdung sekali gus dinasihatkan untuk berehat namun peluangnya untuk kembali diturunkan esok masih menjadi tanda tanya.

Situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan tugas sukar terutama untuk menyusun barisan pemain terbaik dalam acara perseorangan sewaktu menentang Jepun esok sekali gus bakal menggunakan pemain sedia ada.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya akan menilai semua pilihan yang ada termasuk kemungkinan untuk menyenaraikan salah seorang pemain beregu menggalas tugas dalam acara perseorangan.

“Situasi yang berlaku ketika ini adalah di luar kawalan kami yang mana kita kehilangan dua pemain perseorangan. Pada akhirnya, kita perlu buat persiapan dengan pemain yang sedia ada sekarang.

“Mungkin pemain beregu akan disenaraikan bermain dalam perseorangan. Segala kemungkinan itu ada dan perkara ini akan bincang semula dengan barisan kejurulatihan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” kata Rexy.

Ketika ini, Malaysia hanya tinggal dua pemain perseorangan iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Tegas Rexy, pihaknya hanya mempunyai masa sehingga pukul 1 tengah hari esok sebelum memuktamadkan senarai pemain akhir yang akan diturunkan pada aksi di separuh akhir.

“Setakat ini, saya tidak boleh pastikan sama ada Tze Yong atau Zii Jia boleh diturunkan. Macam Zii Jia, saya fikir pasukan dia lebih mengetahui keadaannya.

“Jadi, kita akan bincang semula nanti. Lagipun, kita tidak boleh nak paksa pemain untuk bermain sekiranya mereka betul-betul tidak boleh turun bermain,” katanya. -KOSMO! Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI