KUALA LUMPUR – Hasrat skuad badminton wanita negara untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu dengan mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila kecundang 0-3 kepada juara bertahan, Indonesia 0-3 pada aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) hari ini.
Walaupun Indonesia hanya membariskan skuad kedua, namun pemain negara gagal mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan pada saingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City itu.
Pemain perseorangan negara K. Letshanaa tampil dengan cukup baik, namun terpaksa akur dengan kehebatan Putri Kusuma Wardani apabila tewas 13-21, 21-18, 13-21.
Biarpun mengharapkan kebangkitan Pearly Tan-M. Thinaah, namun beregu wanita negara itu dikejutkan kekalahan 14-21, 21-18 dan 15-21 kepada Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto.
Nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan kedua, Wong Ling Ching yang bermula cemerlang apabila menang 21-14 pada set pertama sebelum akhirnya tumbang kepada Ester Nurumi Tri Wardoyo, 15-21, 16-21 pada dua set berikutnya. – KOSMO! ONLINE