HASRAT penjaring terbanyak England, Harry Kane untuk mendakap trofi pertamanya tampak sukar selepas kelabnya, Bayern Munich tewas mengejut 0-1 kepada Lazio pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.
Ia adalah kali pertama Bayern tewas di perlawanan pertama pusingan 16 UCL dalam tempoh 11 musim berturut-turut sejak gergasi Jerman itu kecundang 0-3 di tangan Arsenal pada edisi 2013.
Kekalahan di Stadio Olimpico itu bukan sahaja menyaksikan Kane dikecam teruk oleh para penyokong disebabkan prestasi hambarnya, tetapi turut menjadi bahan ejekan peminat-peminat bola sepak yang menggelarnya membawa ‘sumpahan Tottenham Hotspur’ ke Munich.
Ia susulan situasi Kane gagal memenangi gelaran utama sepanjang 13 musim bersama Spurs sejak 2011 sebelum berhijrah menyertai Bayern dengan rekod perpindahan termahal Bundesliga menerusi harga €110 juta (RM564.54 juta) pada Ogos lalu.
Memandangkan Bayern sudah pun terlepas Piala Super Jerman dan Piala DFB Pokal selain hakikat ketinggalan di belakang Bayer Leverkusen dalam saingan Bundesliga, Kane kini perlu memastikan kemenangan ke atas Lazio untuk aksi timbal balik di Allianz Arena pada 6 Mac ini.