fbpx

Terlantar akibat jangkitan kuman pada otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Aqeef hanya terlantar akibat jangkitan kuman pada otak di Taman Bukit Rambai baru-baru ini.

MELAKA – Sebuah keluarga di Taman Bukit Rambai dekat sini, buntu memikirkan keperluan anak sulung mereka, Muhammad Aqeef Irmi Shahrizan, 14, yang kini bergantung kepada susu khas selepas diserang jangkitan kuman pada otak tahun lalu.

Bapanya, Irmi Shahrizan Mohd. Nasir, 41, berkata, dia yang bekerja sebagai penghantar makanan tidak lagi mampu membeli susu khas anaknya itu yang menelan belanja lebih RM1,000 setiap bulan.

Katanya, Muhammad Aqeef memerlukan susu khas tersebut sebagai sumber nutrisi kerana dia tidak berupaya untuk makan dan menguruskan diri secara normal.

“Aqeef pada awalnya ha­nya demam panas, namun tiba-tiba kesihatannya sema­kin merosot sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka selepas diserang sawan.

“Doktor kemudian beritahu terdapat jangkitan kuman dalam darahnya dan ia telah merebak ke otak sehingga mengakibatkan keradangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Tambahnya, sejak kejadian itu, kehidupan ceria Aqeef sebagai seorang kanak-kanak normal berubah dalam sekelip mata apabila dia kini terlantar dan perlu diberikan susu formula khas menerusi saluran tiub.

“Pendapatan saya hanya sekitar RM1,800 sebulan, Aqeef pula bergantung pada susu semata-mata dan memerlukan 15 tin makanan itu yang setiapnya berharga RM80.

“Dua adiknya berusia sembilan dan 11 tahun juga terpaksa dicatu duit belanja sekolah mereka untuk memastikan kami dapat beli susu Aqeef,” ujarnya sayu.

Tambahnya, mereka sekeluarga juga terpaksa mengikat perut untuk membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan, selain komitmen lain.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan melalui nombor akaun bank Bank Simpanan Nasional 0499541100211431 atas penama Irmi Shahrizan atau hubungi talian 011-5312 5048.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI