fbpx

Sindiket gagal seludup 42,000 kg beras hancur dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian guni berisi beras hancur yang cuba diseludup dari Thailand menggunakan sebuah treler di Pokok Sena, dekat Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup 42,000 kilogram (kg) beras hancur dari Thailand dengan menggunakan sebuah treler di Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena dekat sini pada 6 Februari lalu.

Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, berdasarkan maklumat diterima Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar tentang aktiviti penyeludupan beras dari negara jiran, pasukan berjaya mengesan dan mengekori sebuah treler bernombor pendaftaran tempatan.

“Hasil risikan mendapati treler itu memasuki Malaysia dari Thailand melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung.

“Setelah melepasi kawalan sempadan, anggota penguat kuasa bertindak mengekori treler tersebut dari ICQS Durian Burung dan menahannya di tepi jalan berhampiran Pondok Bukit Lada, Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemandu treler bertindak melarikan diri dan dikejar anggota, namun gagal diberkas.

Menurut Nor Izah, hasil siasatan awal, treler berkenaan memasuki Malaysia dari Thailand melalui pintu sempadan ICQS Durian Burung dengan mengikrarkan sebagai tidak bermuatan.

“Walau bagaimanapun hasil pemeriksaan terhadap muatan yang dibawa oleh treler tersebut, pasukan menjumpai 840 beg guni berisi beras hancur seberat 42,000 kg dengan anggaran nilai rampasan RM105,000,” ujarnya.

Jelasnya, beras hancur itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dicampur dengan beras tempatan atau beras yang diimport bagi mengaut keuntungan lebih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI