fbpx

Prabowo cemerlang, yakin menang Pilpres 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prabowo dan Gibran berucap di atas pentas sambil disaksikan penyokong mereka yang meraikan kemenangan awal dua calon tersebut di Jakarta semalam. - AFP

JAKARTA – Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto diyakini menjadi Presiden baharu negara itu selepas kiraan pantas menunjukkan beliau memenangi lebih separuh undian dalam pilihan raya Presiden (Pilpres 2024), lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Setakat petang ini, bekas jeneral tentera itu meraih hampir 60 peratus undian bersama-sama regunya, Gibran Rakabuming Raka, yang merupakan calon Naib Presiden.

Ia sekali gus memberi bayangan bahawa Prabowo akan menang dalam hanya sekali pusingan undian tanpa perlu melalui pusingan kedua yang sepatutnya dijadualkan pada Jun depan.

Keputusan penuh undian tersebut dijangka diperoleh pada bulan depan, manakala kaedah kiraan pantas yang diluluskan oleh pemerintah terbukti tepat pada tahun-tahun sebelum ini.

“Kemenangan ini adalah kemenangan untuk semua rakyat Indonesia.

“Walaupun kita patut bersyukur, kita tidak boleh sombong, tidak terlalu gembira dan tetap merendah diri,” kata Prabowo kepada para penyokongnya yang bersorak di stadium tertutup Istora Senayan, Jakarta, malam semalam. 

Mereka mula berkumpul beberapa jam selepas undian Pilpres 2024 ditutup.

Prabowo, 72, ialah seorang tokoh polarisasi yang popularitinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak. Mereka mendakwa bahawa Indonesia dijangka kembali ke era pemerintahan autoritarian.

Beliau pernah menjadi bekas komander pasukan tentera khas di bawah pemerintahan Jeneral Suharto dan didakwa melakukan pencabulan hak-hak asasi manusia.

Sementara itu, seorang pengundi yang kini tinggal di Jerman berkata: “Indonesia benar-benar memerlukan seorang tokoh yang kuat untuk memimpin. Prabowo boleh menjadi Presiden yang baik.”

Prabowo semalam berdepan bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, 56, dan Anies Baswedan, 54, yang pernah menjadi Gabenor Jakarta.

Menjelang petang ini, kiraan pantas menunjukkan mereka ketinggalan jauh di belakangnya, masing-masing sebanyak 16 peratus dan 25 peratus. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI