KUALA LUMPUR – Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berhubung kemelut dalaman yang timbul dalam skuad terjun negara.
Baru-baru ini, penerjun kelahiran Sarawak tersebut mendakwa wujud ‘gangguan’ hingga menyebabkan skuad terjun negara gagal menampilkan aksi terbaik di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini.
Berikutan itu, Pandelela juga gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, pihak telah berjumpa dengan penerjun negara tersebut pada pukul 11 pagi hari ini untuk mendengar segala permasalahan namun tidak tidak boleh mendedahkan butiran perbincangan tersebut kerana masih dalam proses siasatan.
Tegas Andy, pihaknya akan membentangkan laporan siasatan penuh terutama mengenai bentuk gangguan yang dialami penerjun negara tersebut dalam tempoh terdekat ini.
“Pandelela juga sudah berjumpa dengan saya pukul 11 pagi hari ini dan kita telah mendengarnya. Berkenaan bentuk gangguan itu biarlah kita siasat dahulu dan jika semua siasatan selesai, kita akan bagi tahu secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam pada itu, Andy memaklumkan pihaknya sudah pun selesai menjalankan post mortem susulan kegagalan skuad terjun negara di Doha selepas mendapat laporan penuh daripada pengarah teknikal, Bryan Nickson Lomas dan tiga jurulatih kebangsaan.
“Kami sudah melakukan post mortem secara menyeluruh hari ini membabitkan pengarah teknikal dan tiga jurulatih. Kami melihat kepada semua isu termasuklah kekuatan dan kelemahan.
“Namun, saya minta maaf, apa yang dibincang itu masih tidak boleh didedahkan kerana ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat pemulihan sebelum di bawa ke mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja) bersama MSN (Majlis Sukan Negara).
“Saya percaya dalam tempoh tiga minggu lagi kami boleh maklumkan mengenai perkara ini,” tambahnya. -KOSMO! Online