fbpx

Perbelanjaan pertahanan global meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan pelancaran peluru berpandu Iran dalam satu latihan di negara itu bulan lalu. - AFP

LONDON – Satu laporan terbaharu menunjukkan jumlah perbelanjaan pertahanan global melonjak dalam tempoh 12 bulan lalu, didorong oleh peningkatan krisis di seluruh dunia, lapor akhbar Daily Express UK.

Analisis itu diterbitkan kelmarin oleh firma pemikir, Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London.

Menurutnya, perbelanjaan ketenteraan, daripada peluru hingga senjata nuklear meningkat sebanyak sembilan peratus sejak Februari 2023 dan mencecah AS$2.2 trilion (RM10.24 trilion).

Russia dan China menjadi antara negara yang paling banyak mencatatkan peningkatan tersebut.

Ketika Russia hampir memasuki tahun ketiga pencerobohannya ke atas Ukraine, Moscow memperuntukkan lebih 30 peratus daripada belanjawan negara untuk sektor pertahanan, tulis IISS.

Dalam masa sama, perhatian dunia tertumpu ke arah China berikutan ketegangannya dengan Barat, pertikaian di Laut China Selatan dan ancaman berterusan terhadap Taiwan.

Russia dan China juga merupakan antara negara yang banyak membelanjakan untuk senjata lebih maju dari segi teknologi seperti peluru berpandu hipersonik dan dron tanpa pemandu.

Tambah analisis IISS yang sama, Iran menggunakan pengaruhnya yang semakin meluas seperti yang ditunjukkan oleh kesediaannya untuk membekalkan senjata kepada kumpulan pemberontak Houthi di Yemen.

Sementara itu, IISS berkata, terdapat juga negara-negara lain yang melabur dalam senjata nuklear.

“Senjata nuklear kembali dalam agenda dengan China menambah bilangan silo peluru berpandu, manakala Amerika Syarikat (AS) memodenkan peledak dan sistem penghantaran,” katanya.

Di Barat, sekutu-sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan perbelanjaan ketenteraan sebanyak 32 peratus sejak sedekad lalu, iaitu selepas tentera Russia menceroboh dan menguasai Semenanjung Crimea.

“Namun, pelaburan negara-negara Eropah dan AS itu masih belum mencukupi untuk menampung pemotongan pertahanan selama bertahun-tahun berikutan berakhirnya Perang Dingin,” kata badan pemikir tersebut.

Berikutan peperangan di Ukraine dan Semenanjung Gaza, ketegangan meningkat di seluruh Asia Barat dan Timur, selain komitmen perbelanjaan yang telah diumumkan, IISS percaya perbelanjaan pertahanan akan semakin bertambah pada 2024. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI