SEREMBAN – Sebanyak 9,964 saman trafik telah dikeluarkan dengan kesalahan memandu melebihi had laju menjadi penyumbang terbanyak kesalahan trafik sepanjang enam hari Ops Selamat dilaksanakan di negeri ini dari 8 hingga 13 Februari lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, saman lain terbanyak pula membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memandu menggunakan talefon bimbit dan memotong di garisan berkembar.
Menurut beliau, dari segi statistik kemalangan pula dalam Ops Selamat 21 telah mencatatkan penurunan kes sebanyak 22.7 peratus atau 131 kes kemalangan berbanding Op Selamat 19 tahun lalu yang merekodkan sebanyak 577 kes.
“Pada tahun ini, sebanyak 446 kes kemalangan dilaporkan dan dari jumlah tersebut sebanyak tiga kes kemalangan maut direkodkan. Kes kemalangan maut turut merekodkan penurunan sebanyak satu kes kemalangan maut berbanding empat kes tahun lalu.
“Sepanjang tempoh Ops Selamat 21 dilaksanakan, faktor terbabas dan langgar belakang kenderaan lain meruoakan punca kepada kemalangan maut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, penunggang dan pembonceng motosikal kekal sebagai pengguna jalan raya yang mencatatkan angka korban tinggi dengan tiga kematian dan angka ini menurun sebanyak dua kematian berbanding Op Selamat 19 tahun lalu.
Dalam pada itu menurut beliau, Ops Selamat 21 tahun ini turut melibatkan kerjasama daripada lain-lain agensi melalui emergency response team (ERT) seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta konsesi lebuh raya. – KOSMO! ONLINE