fbpx

Lebih 1,300 pembayar zakat dinobat pemenang lima kempen PPZ-MAIWP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed (tengah) bergambar bersama para pemenang kempen-kempen anjuran PPZ-MAIWP sepanjang tahun 2023 yang diadakan di WTCKL hari ini. Foto oleh M Firdaus M Johari/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Lebih 1,300 pembayar zakat dan wakaf terpilih sebagai pemenang bagi lima kempen yang diadakan oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) sepanjang tahun 2023.

Antaranya Kempen Mesa Kaunter, Kempen 1 Bulan 1 Wakaf, Kempen Simpan & Zakat, Kempen Jom Potong Skim Potongan Zakat Bulanan dan Kempen Year End Zakat (YEZ).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, objektif kempen-kempen itu diadakan untuk memberi kesedaran serta menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam menunaikan zakat dan wakaf di PPZ-MAIWP sekali gus dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan.

“Pada hari ini seramai 59 pembayar zakat diraikan sebagai pemenang utama bagi setiap kempen yang diadakan.

“Kempen YEZ yang dijalankan turut mendapat tajaan daripada CIMB Islamic Bank manakala
Kempen Simpan dan Zakat adalah dengan kerjasama pihak ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad).

“Kolaborasi ini merupakan antara inisiatif smart partnership antara PPZ-MAIWP dengan syarikat pembayar zakat agar turut sama menyebarluaskan dakwah zakat dalam kalangan pelanggan mereka, selain dapat meningkatkan reputasi dan imej syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Kempen PPZ-MAIWP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed turut berterima kasih kepada pembayar zakat kerana dengan jasa mereka pihaknya berjaya melepasi sasaran ditetapkan selepas memperoleh kutipan zakat RM1.035 bilion bagi tahun 2023.

“Tanpa keprihatinan semua pembayar zakat mungkin sukar untuk PPZ-MAIWP mencapai kutipan zakat melebihi RM1 bilion pada tahun 2023.

“Justeru itu, pencapaian ini juga adalah kejayaan buat semua para pembayar zakat yang merupakan hero kepada lebih 200,000 asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Pada majlis tersebut, PPZ-MAIWP juga meraikan penerima Anugerah Pembayar Setia kepada pembayar zakat yang telah menunaikan zakat bermula tahun 1991 sehingga 2023.

Pelbagai hadiah menarik disediakan buat pemenang termasuklah pakej umrah serta telefon bimbit model iPhone 15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI