fbpx

Ketua isi rumah miskin di Negeri Sembilan kekal nikmati rebat elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Pejabat Pembangunan Negeri Negeri Sembilan (PPNNS) telah mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengekalkan pemberian rebat elektrik kepada kira-kira 500 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah keluar dari kelompok miskin tegar.

Pengarah PPNNS, Roslan Mat Nong berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan golongan tersebut tidak dikategorikan kembali sebagai miskin tegar memandangkan Negeri Sembilan sudah pun mencapai sasaran sifar miskin tegar seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 22 Disember tahun lalu.

Malah menurut beliau, cadangan itu juga wajar dipertimbangkan memandangkan KIR tersebut dalam proses transisi ke arah peningkatan pendapatan serta masih belum lagi stabil kewangan mereka.

“Perbincangan awal menunjukkan respons positif untuk kekalkan rebat elektrik RM40 tersebut, jumlah yang berdaftar mengikut maklumat awal kurang daripada 500 KIR.

“Negeri Sembilan melalui PPNNS merupakan negeri yang pertama mengambil langkah dalam perkara ini kerana menyedari ini adalah penting dan wajar dipertimbangkan.

“Bila KIR ini telah keluar daripada miskin tegar, mereka tidak akan menerima rebat elektrik berjumlah RM40. Walaupun nilai ini nampak kecil, namun kekurangan pendapatan RM40 sebulan boleh menjadi faktor mereka kembali kepada status miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Bersama Media di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Roslan berkata, sasaran sifar miskin tegar berkenaan membabitkan sejumlah 3,530 KIR telah berjaya dicapai, namun kira-kira 120 KIR telah didapati kembali dalam kelompok itu setakat awal tahun ini.

“Angka ini bagi saya adalah sementara dan saya yakin kita dapat kembali kepada sifar miskin tegar pada tahun ini. Menerusi perancangan yang ada, saya optimis Negeri Sembilan masih menjadi negeri pertama yang mengekalkan sifar miskin tegar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI