fbpx

Isu saman Zii Jia, Indra selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA boleh memberikan tumpuan terhadap aksi di dalam gelanggang selepas isu saman dengan Indra dianggap selesai.

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia boleh menarik lega memandangkan kes saman dengan bekas jurulatihnya dari Indonesia, Indra Wijaya sudah menemui jalan penyelesaian.

Pertikaian undang-undang antara bekas juara Seluruh England itu dengan Indra tidak akan diteruskan selepas kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihak peguam Indra, mereka mengesahkan bahawa persefahaman bersama sudah dicapai melalui surat-menyurat antara peguam kedua-dua belah pihak tersebut.

Surat bertarikh 6 Februari oleh Tetuan Law Partnership (pihak LZJ Management Sdn Bhd) manakala 14 Februari oleh Tetuan Wan Ahmad Ridzuan & Co (pihak Indra Wijaya).

“Berhubung dengan tuntutan yang difailkan Indra terhadap LZJ Management Sdn Bhd (Pengurusan LZJ), dengan suka cita kami memaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk menyelesaikan di luar Mahkamah secara baik.

“Perpisahan antara LZJ Management dan Indra berlaku semata-mata atas pertimbangan oleh pasukan LZJ mengenai falsafah, kaedah kejurulatihan dan latihan LZJ dan tidak ada kaitan dengan kaedah kejurulatihan serta prestasi Indra di bawah kontrak pekerjaan.

“Kami berharap tidak akan timbul sebarang spekulasi mahupun andaian berhubung perkara ini dan mereka mengucapkan selamat maju jaya terhadap karier profesional masing-masing,” kata pihak Indra menerusi kenyataan itu.

Sebelum ini, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung isu yang timbul sehingga mengambil keputusan untuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah Perusahaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI