fbpx

K2

Hukum melafazkan niat dalam ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amalan melafazkan niat ketika permulaan ibadah seperti solat bukan perkara asing. – Gambar hiasan

Saya ada terbaca satu status di media sosial yang mengatakan bahawa tidak sah solat jika melafazkan niat melalui bibir mulut. Tambahnya lagi, perbuatan itu tidak dinyatakan dalam mana-mana hadis mahupun sunah. Apakah pandangan Datuk mengenai kenyataan ini?

Jawapan: Terdapat banyak perbincangan dari sudut hukum syarak mengenai amalan lafaz niat atau menyebut lafaz niat secara lisan. Meskipun tidak terdapat riwayat suruhan secara langsung daripada Rasulullah SAW berkenaan amalan ini namun keharusan amalan ini mempunyai asas dan sandarannya. Keharusan melafazkan niat ini dikiyaskan oleh ulama melalui riwayat kisah Rasulullah SAW menzahirkan lafaz niat haji dan umrah. Tambahan lagi, amalan ini termasuk dalam perkara yang dianjurkan oleh ulama mazhab yang muktabar serta menjadi amalan dalam kalangan sebahagian ulama salaf.

Niat merupakan merupakan rukun bagi sesebuah ibadat baik ibadat tersebut adalah ibadat yang sunat mahupun ibadat yang wajib dan tempat menentukan niat ialah di dalam hati. Adapun amalan melafazkan niat ibadat, para ulama membincangkan hal ini dari sudut hukum syarak khususnya.

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa pensyariatan lafaz niat dalam ibadat mempunyai sandarannya. Antaranya ialah melalui kisah Rasulullah SAW menyebut lafaz niat puasa sunat sebelum matahari tergelincir. Kisah ini diriwayatkan oleh Aisyah RA yang berbunyi:“Suatu hari Rasulullah SAW telah masuk ke dalam rumahku. Lalu Baginda bertanya: adakah terdapat sesuatu (makanan) padamu? Maka aku menjawab: tiada. Lalu Baginda berkata: Kalau begitu aku berpuasa hari ini.”(Riwayat Muslim: 1154)

Begitu juga dalam riwayat saidina Umar RA, bahawa sabda Rasulullah SAW:“Malam tadi aku didatangi (malaikat) yang datang membawa perintah tuhanku (ketika itu baginda berada di al-‘Aqiq) bahawa hendaklah engkau solat di lembah yang diberkati ini dan katakanlah: Aku berniat mengerjakan umrah dalam ibadat haji.”
(Riwayat Bukhari: 2337)

Riwayat di atas menjelaskan tentang keharusan menggabungkan niat haji dan umrah apabila berada satu masa yang sama ketika berihram. Melalui ungkapan ‘Aku berniat mengerjakan umrah dalam ibadat haji’ yang disampaikan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW, para ulama mengkiyaskan bahawa amalan melafazkan niat dalam ibadat termasuk dalam perkara sunat.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa amalan melafazkan niat ketika di permulaan ibadat ini bukan perkara yang asing bahkan perbuatan ini pernah diamalkan oleh sebahagian ulama salaf dan antaranya ialah Imam al-Syafi‘i. Hal ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada al-Rabi‘ yang berbunyi:“Imam al-Syafi‘i apabila beliau ingin mengerjakan solat lalu beliau sentiasa berkata: Bismillah (Dengan nama Allah) aku menghadap ke arah Kaabah, melaksanakan kefarduan Allah. Allahu Akbar(melafaz takbir).”(Mu‘jam Ibn al-Muqri’: 317)

Dalam mazhab Syafi‘i, lafaz niat bukan syarat sah ibadat, iaitu amalan ini bukan suatu yang diwajibkan. Namun begitu, ia termasuk dalam perbuatan yang dianjurkan oleh syarak(mustahab). Tambahan lagi, Imam al-Khatib Syirbini menjelaskan galakan(istihbab) melafazkan niat sebelum mengangkat takbir dapat membantu hati kerana ia dapat mengelakkan dari perkara yang boleh mendatangkan was-was.

Selain itu, Imam Nawawi turut menjelaskan bahawa amalan menyatakan amalan melafazkan niat adalah lebih afdal berbanding tidak dilafazkan, kata beliau:
“Niat yang wajib ketika berwuduk ialah niat di dalam hati. Tidak wajib melafazkan niat dengan lisan dan tidak sah jika hanya melafazkan niat sahaja. Oleh itu, apabila digabungkan niat dalam hati dengan lafaznya secara lisan maka itu lebih kuat dan afdal. Hal ini sepertimana yang disepakati ulama mazhab Syafi‘i.”(Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: 1/316)

Hukum lafaz niat menurut mazhab lain

Perihal berkaitan melafazkan niat secara lisan ini tidak terhenti dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i semata-mata. Malah turut dibincangkan oleh ulama-ulama mazhab yang mukatabar. Antaranya ialah:

1) Mazhab hanafi

Imam Fakhruddin al-Zaila‘i dalam membincangkan syarat-syarat solat menyatakan bahawa melafazkan niat tidak termasuk dalam syarat sah namun ia adalah perkara yang baik untuk menghadirkan keazaman solat. Menurut Imam al-Haskafi pula:
“Menghimpunkan niat dalam hati antara lafaz dengan lisan merupakan kedudukan yang adil antara pihak yang menjadikannya sebagai amalan sunat dan pihak yang memakruhkannya kerana tiada nukilan daripada ulama salaf.”

(Rujuk al-Durr al-Mukhtar: J1 hlm 23)

2) Mazhab hanbali

Menurut pandangan mazhab Hanbali yang terkemudian(mutaakhirin), melafazkan niat termasuk dalam amalan yang disunatkan jika lafaz tersebut dibaca secara perlahan serta diniatkan dalam hati. Hal ini kerana perbuatan sedemikian dapat diseiringkan antara hati dan lisan.[7] Selain itu, Imam al-Mardawi turut menyatakan dalam karyanya:“Disunatkan melafazkan niat secara perlahan dan ini merupakan pandangan muktamad mazhab hanbali”

(Rujuk al-Insof fi Ma‘rifat al-Rajih min Khilaf: 1/142)

Kesimpulannya, terdapat banyak perbincangan dari sudut hukum syarak mengenai amalan lafaz niat atau menyebut lafaz niat secara lisan. Meskipun tidak terdapat riwayat suruhan secara langsung daripada Rasulullah SAW berkenaan amalan ini namun keharusan amalan ini mempunyai asas dan sandarannya. Keharusan melafazkan niat ini dikiyaskan oleh ulama melalui riwayat kisah Rasulullah SAW menzahirkan lafaz niat haji dan umrah. Tambahan lagi, amalan ini termasuk dalam perkara yang dianjurkan oleh ulama mazhab yang muktabar serta menjadi amalan dalam kalangan sebahagian ulama salaf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI