KANGAR – Kerajaan negeri menjangkakan pengeluaran mangga harumanis pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu berikutan cuaca panas ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, pengeluaran hasil pertanian itu diunjurkan mencecah sehingga 1,200 tan berbanding tahun lalu sebanyak 1,189 tan.
“Berdasarkan prestasi semasa, 60 peratus pokok harumanis sekitar negeri ini telah berbunga dan bakal mengeluarkan hasil pada pertengahan April depan.
“Berkemungkinan akan ada juga sedikit lagi pertambahan hasil selepas ini berikutan masih terdapat pokok yang dilihat berpotensi untuk berbunga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini semalam.
Kata beliau, pihaknya menjangkakan harga mangga premium itu akan dipasarkan sekitar RM35 sekilogram bagi gred A.
Menurut Razali, kerajaan negeri juga berharap agar pengusaha tidak mengambil kesempatan memasarkan buah berkenaan pada harga tinggi bagi meraih keuntungan berganda. – KOSMO! ONLINE