KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya mampu mengangkat semula Malaysia sebagai sebuah negara yang membanggakan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia berikutan kerajaan ketika ini mempunyai kekuatan dua per tiga sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik dalam negara.
“Saya beri jaminan kita tidak akan tergugat kerana kerajaan ini masih kuat. Jadi, kita akan gunakan kekuatan ini yang mana fokus utama adalah mengangkat semula Malaysia sebagai negara yang ada kekuatan ekonomi, pelaburan dan pembangunan yang boleh dibanggakan.
“Saya ingin ucapkan tahniah juga kepada rakan-rakan (menteri) termasuk kementerian yang berusaha menarik minat pelabur dalam dan luar negara.
“Disebabkan usaha tersebut, kita telah mencatat rekod yang membanggakan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (ACCIM) di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, beliau yakin kekal mengemudi Kerajaan Perpaduan bagi tempoh empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, kata Anwar, kerajaan juga tidak boleh terikut dengan pendekatan atau kaedah lama selain bersedia untuk membawa perubahan dengan menumpukan isu secara bersama.
“Beberapa dasar seperti transisi tenaga, transformasi digital dan isu keterjaminan makanan melibatkan keperluan meningkat juga harus diberi penekanan.
“Semua kementerian tumpu untuk tingkatkan usaha sebagai satu pasukan pada setiap minggu dalam mesyuarat jemaah menteri. Sebab itu sinergi kerjasama dengan ACCIM sangat penting,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE