PETALING JAYA – Penyanyi Iman Troye yang mengalami demam virus dengan suhu badan tinggi kini ditempatkan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 21, itu dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan sejak kelmarin.
“Sekali lagi,” katanya dalam keterangan gambar yang dikongsi menerusi Instagram Story semalam.
Dalam foto tersebut, penyanyi lagu Teman itu menunjukkan bahagian tangan yang sudah dipasang saluran IV drip iaitu tiub berongga untuk memasukkan air.
Menurut pengurusnya, Adib Hamdi, kondisi Iman kini semakin menunjukkan perkembangan positif, namun masih perlu banyak berehat.
“Dia mengalami dehidrasi dan dimasukkan drip air, tetapi alhamdulillah keadaannya sudah nampak okey,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Begitupun, menurut Adib berikutan serangan demam virus itu, beberapa tugasan penting yang sudah disusun awal perlu dirombak semula.
“Sebenarnya Iman sepatutnya terlibat dalam beberapa aktiviti kempen promosi dengan jenama diwakili dalam masa terdekat untuk komitmen sebagai duta.
“Cuma buat masa ini kerja itu terpaksa ditunda tarikh lain, namun kami berterima kasih kepada pihak terlibat yang memahami situasi tidak dijangka ini.
“Terima kasih juga kepada peminat serta rakan yang mendoakan kesihatan Iman, insya-Allah dia mungkin dibenarkan keluar hospital esok,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE