GEORGE TOWN – Pasukan bomba dan polis mengambil masa hampir empat jam untuk menyelamatkan wanita warga emas yang cedera akibat diterajang dan dipukul anak lelakinya dalam kejadian di sebuah flat di Jelutong, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.50 malam itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an turut mengancam membunuh diri dengan membuka dua tong gas petroleum cecair (LPG) bagi menakutkan pasukan penyelamat.
Difahamkan, ketika kejadian pemuda itu berada di bawah pengaruh dadah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Shaari Mansor berkata, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati suspek bertindak agresif mencederakan ibunya dengan tukul selain menendang dan mengacu objek tajam ke arah wanita berusia 60-an itu.
“Sejurus melihat kehadiran anggota polis dan bomba, suspek bertindak agresif menyebabkan kami terpaksa beredar bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Mangsa kemudian dilepaskan sendiri oleh anaknya selepas permintaan supaya anggota polis dan bomba beredar dituruti.
“Lelaki berusia 40-an itu turut mengancam membuka dua tong gas. Anggota kemudian membuka satu aliran bertekanan tinggi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran dan memecah masuk kediaman terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Beliau memberitahu, suspek diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan St. John sebelum diserahkan kepada polis.
“Ibunya hanya mengalami kecederaan ringan dan lebam akibat dipukul,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE