JAKARTA – Calon pilihan raya Presiden Indonesia 2024 (Pilpres 2024), Anies Baswedan tampil tenang dengan menyatakan bahawa semua pihak perlu menanti sehingga keputusan rasmi diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Umum Indonesia, lapor stesen penyiaran Al Jazeera.
“Lebih baik kita menunggu jawatankuasa pilihan raya selesai mengira undi,” katanya di pusat kempen di Jakarta.
Beliau mengulas mengenai kaedah kiraan pantas yang dilakukan ketika ini.
Ia menyaksikan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto mendahului perlumbaan merebut jawatan Presiden Indonesia berdasarkan keputusan awal kiraan pantas yang diadakan selepas tempoh mengundi tamat.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau yakin pilihan raya itu berjalan dengan lancar dan adil, Anies menjawab: “Setakat hari ini, kita belum tahu lagi, tetapi itulah harapan kita. Saya berharap dan saya menjangkakan ia akan dilakukan dalam cara yang betul.” – AGENSI