BERA – Hasrat sebuah keluarga untuk bercuti tidak kesampaian apabila seorang wanita maut, manakala suami dan dua anaknya mengalami kecederaan selepas terbabit dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 15 Jalan Temerloh – Bahau di sini hari ini.
Difahamkan, kereta Perodua Alza dipandu mangsa, Leong Poh Voon, 46, bersama keluarganya dalam perjalanan ke Genting Highlands.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu Perodua Alza, Perodua Bezza, Perodua Viva dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.
“Siasatan awal mendapati, pemandu Alza tersebut dalam perjalanan ke arah Temerloh, namun apabila sampai di tempat kejadian semasa melalui selekoh turun bukit, tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran, dua kenderaan lain (Viva dan motosikal) yang datang dari arah belakang Perodua Alza tidak sempat mengelak lalu menghentam kereta jenis Perodua Alza” katanya.
Katanya susulan kejadian menyebabkan pemandu kenderaan jenis Perodua Alza maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi penumpang kenderaan itu mengalami kecederaan.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.- KOSMO! ONLINE