JAKARTA – Pilihan raya umum Indonesia (Pemilu 2024) yang berlangsung serentak dengan pilihan raya Presiden (Pilpres 2024) menyaksikan lebih 204 juta penduduk yang layak, mengundi bagi memilih pengganti Presiden Joko Widodo (Jokowi), lapor akhbar South China Morning Post.
Selepas empat bulan berkempen, tinjauan pendapat menunjukkan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, 72, muncul calon pilihan bagi menggantikan Jokowi.
Pemimpin tersebut sudah cukup tempoh memegang jawatan itu selama dua penggal dan bakal menamatkan perkhidmatannya pada Oktober depan.
Bekas Gabenor wilayah Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, 55 dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, 54, berharap akan menafikan peluang Prabowo dengan meraih undi lebih 50 peratus bagi membolehkan pusingan kedua Pilpres diadakan pada 26 Jun depan.
Pilpres 2024 diselubungi kontroversi yang berlegar di sebalik kebimbangan demokrasi berhubung persoalan tentang pengaruh Jokowi terhadap Prabowo, yang menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat menerusi tinjauan pendapat yang diadakan sebelum ini.
Bagaimanapun, pemerintahannya kerap kali dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi Indonesia yang meningkat iaitu kira-kira lima peratus setahun.
Pentadbiran Jokowi menumpukan kepada pembangunan infrastruktur termasuk membina landasan kereta api laju pertama di Asia Tenggara dan meletakkan batu asas terhadap projek pembinaan ibu negara baharu yang bernilai AS$32 bilion (RM152.51 bilion) di Kalimantan.
Namun, terdapat kebimbangan mengenai pengaruh Jokowi menyusup masuk ke dalam institusi pentadbiran negara itu.
Ini adalah kerana anak lelaki beliau, Gibran Rakabuming Raka, yang berusia 36 tahun dibenarkan bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan menjadi regu kepada Prabowo.
Gibran dibenarkan bertanding walaupun Mahkamah Perlembagaan memutuskan umur bagi individu yang layak untuk merebut jawatan itu adalah 40 tahun ke atas.
Keputusan bagi membenarkan Gibran bertanding itu diputuskan oleh hakim utama Indonesia yang jugar ipar kepada Jokowi, Anwar Usman.
.Pemerhati berkata, adalah terlalu sukar untuk mengetahui sama ada Prabowo akan memenangi Pilpres 2024 dalam satu pusingan, dan ia banyak bergantung kepada peratusan keluar mengundi.
Sementara itu, pusat mengundi di seluruh tiga zon waktu berbeza di Indonesia akan dibuka pada pukul 7 pagi (waktu Jakarta) dan ditutup pada pukul 1 tengah hari (waktu Jakarta).
Warganegara berumur 17 tahun ke atas dibenarkan mengundi. Pada tahun ini, 52 peratus pemilih berdaftar berumur bawah 40 tahun, dan hampir satu pertiga daripada semua pengundi berusia di bawah 30 tahun.
Rakyat Indonesia akan mengundi presiden dan naib presiden baharu serta ahli parlimen untuk kira-kira 20,000 jawatan pentadbiran di seluruh negara.
Calon presiden memerlukan lebih separuh daripada jumlah undi di seluruh negara dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah untuk kemenangan yang selamat.
Bagi memberikan petunjuk awal keputusan pilihan raya, pusat mengundi di Indonesia menggunakan kaedah persampelan ‘kira cepat’ dengan keputusan presiden baharu negara itu dijangka diumumkan seawal petang hari ini.
Sekiranya tiada calon melepasi peratusan untuk memenangi Pilpres, pusingan kedua akan diadakan pada 26 Jun ini antara dua calon yang mendapat undian tertinggi pada pusingan pertama. – AGENSI