TANAH MERAH – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan proses serahan Hospital Bachok daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dapat dilaksanakan pada Mei depan berdasarkan kepada perkembangan dan kemajuan projek tersebut ketika ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, operasi sesebuah hospital kebiasaannya akan dimulakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas serahan dijalankan.
“Melihat kepada perkembangan kerja di tapak pembinaan Hospital Bachok, ia mungkin dapat diserahkan kepada kita mengikut jadual sekiranya tiada sebarang masalah besar. Jadi, hospital itu akan mula beroperasi dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas serahan.
“Kita juga telah menerima sebahagian aset manakala sebahagiannya lagi sedang dalam proses. Mengikut perancangan, JKNK akan menerima sebahagian besar aset yang ditempah pada Mei depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu JKNK juga sudah menerima sebahagian penjawatan untuk Hospital Bachok, namun proses penerimaan secara fizikal masih belum dijalankan.
Menurutnya, KKM akan mula menghantar penjawatan fizikal selepas Hospital Bachok diserahkan kepada JKNK.
“Isu kelewatan serahan Hospital Bachok disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang dua tahun bermula Mac 2020,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Hospital Bachok yang terbengkalai sejak empat tahun lalu dijangka beroperasi selewat-lewatnya Januari tahun ini. – KOSMO! ONLINE