KLANG- Proses bedah siasat ke atas mayat juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, dijangka selesai hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses ke atas mayat mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, telah bermula pagi tadi.
“Beberapa ahli keluarga mangsa hadir di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi proses pengecaman identiti dan barangan milik mangsa.
“Selain itu, beberapa ahli keluarga mangsa turut diambil sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk tujuan pemadanan dengan mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam pada itu, usaha Kosmo! menemu bual ahli keluarga mangsa tidak berjaya apabila mereka enggan berbuat demikian.
Dalam kejadian semalam, pesawat Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi sebelum terhempas di Kapar, di sini. -KOSMO!ONLINE