KLANG – Mendiang pembantu juruterbang yang terkorban dalam nahas pesawat ringan terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar telah dibawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Mendiang Roshaan Singh Raina, 43, dibawa dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik syarikat Sai Sivam Casket Services, pukul 3.05 petang ini.
Tinjauan Kosmo! turut mendapati beberapa ahli keluarga mendiang turut beredar dari Jabatan Forensik hospital tersebut.
Usaha menemubual ahli keluarga bagaimanapun gagal kerana enggan diganggu.
Difahamkan, mendiang Roshaan dipercayai dibawa ke Sunway Lenang, Johor Bharu bagi urusan pengebumian.
Terdahulu, waris mangsa nahas termasuk mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, tiba di hospital berkenaan pukul 8.06 pagi.
Proses bedah yang dijalankan bermula pukul 10 pagi dan selesai pukul 12.15 tengah hari tadi mendapati punca kematian akibat pelbagai kecederaan.
Semalam, kedua-dua mayat mangsa ditemukan terbenam sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat model BK 160 Gabriel tersebut, kira-kira pukul 2 petang. – KOSMO! ONLINE